SELANGOR

Juwairiya bawa isu pembinaan jejantas pejalan kaki kepada menteri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 JUL: Cadangan pembinaan jejantas pejalan kaki antara yang disuarakan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam satu perjumpaan dekat pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Juwairiya Zulkifli berkata, isu pembinaan jejantas itu terpaksa diketengahkan kerana kemudahan awam itu tidak termasuk di dalam skop projek yang dikendalikan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, kata Juwairiya, pertemuan empat mata tersebut turut membincangkan isu kerja naik taraf Projek FT54 yang kini giat dijalankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbirannya.

“Diharapkan pihak kementerian akan mempertimbangkan permohonan saya bagi mewujudkan jejantas pejalan kaki di hadapan Taman Rajawali dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kuala Selangor.

“Untuk makluman terdapat hampir 800 penduduk Taman Rajawali serta 70 murid dan guru di sekolah terbabit, kewujudan jejantas ini sekali gus akan membantu serta memudahkan urusan mereka setiap hari,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, kerja naik taraf jalan yang dinamakan Projek FT54 itu melibatkan jalan sepanjang 25 kilometer yang akan bersambung dengan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Projek yang menelan belanja sehingga RM411 juta itu bakal memberi kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk Selangor.

Sebelum ini jalan itu pernah dinaik taraf bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku saban tahun selain menyuraikan kesesakan.

Jalan terbabit mula dinaik taraf sejak Ogos 2016 itu dijangka siap menjelang 2021, sehingga kini status kerja pembinaan sudah hampir 59 peratus siap dan menunjukkan perbezaaan 20 hari lebih awal.

Juwairiya berkata, bagi kerja itu, jalan sepanjang 12 kilometer adalah melibatkan kawasannya, bermula dari Assam Jawa ke Bukit Rotan.

Katanya, selain itu, isu kesesakan trafik di persimpangan lampu isyarat Assam Jawa dan kelemahan penyelenggaraan lampu jalan ketika kerja naiktaraf juga dibangkitkan.

“Semoga hasil perbincangan melalui pertemuan ini memberikan manfaat kepada rakyat DUN Bukit Melawati dan pengguna jalanraya di Kuala Selangor,” katanya.


Pengarang :