NASIONAL

Kabinet belum muktamad ambil alih lebuh raya Gamuda

PUTRAJAYA, 9 JUL: Kabinet belum membuat keputusan muktamad berhubung pengambilalihan konsesi tol empat lebuh raya Gamuda Bhd, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Belum buat, belum buat lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasiona di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kabinet telah membuat keputusan berhubung pengambilalihan berkenaan.

Pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan cadangan pengambilalihan keempat-empat konsesi lebuh raya berkenaan.

Lebuh raya tersebut ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan pada 21 Jun mengemukakan tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan Kabinet, untuk mengambil alih empat lebuh raya itu dengan kos RM6.2 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :