EKONOMI

Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Kadar jangka pendek dijangka stabil minggu depan susulan operasi Bank Negara Malaysia untuk menyerap lebihan mudah tunai di pasaran tunai.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar rujukan Islam semalaman berada pada 2.96 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu masing-masing kekal pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sepanjang minggu ini, bank pusat campur tangan setiap hari untuk menyerap lebihan dana daripada sistem kewangan dengan menjalankan tender pasaran wang konvensional, tender Qard, tender pasaran wang lelongan julat kematangan (RMA), serta tender Program Komoditi Murabahah.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional untuk minggu ini meningkat kepada RM23.60 bilion daripada RM19.76 bilion pada minggu sebelumnya.

Dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM8.17 bilion daripada RM6.70 bilion sebelumnya. – BERNAMA


Pengarang :