GLOBAL

Karnataka dilanda krisis politik, 14 MP letak jawatan

NEW DELHI, 10 JUL: Negeri Karnataka yang terletak di selatan India dilanda krisis politik dengan peletakan jawatan oleh beberapa penggubal undang-undang, sekali gus mengancam survival kerajaan.

Empat belas anggota dewan undangan negeri dari Parti Kongres dan Janata Dal (Sekular) yang membentuk pentadbiran gabungan telah meletak jawatan, menurut laporan media tempatan.

Kebanyakan mereka telah melarikan diri dari Bangalore, ibu negeri Karnataka serta merupakan hab perniagaan dan teknologi terkemuka India, dan kini tinggal di sebuah hotel di Mumbai ketika Parti Bharatiya Janata (BJP) mendesak Ketua Menteri Karnataka H.D. Kumaraswamy berundur.

Kumaraswamy dan Kongres menuduh BJP mempengaruhi peletakan jawatan penggubal undang-undang terbabit, yang mengurangkan kekuatan kerajaan kepada 102 dalam badan perundangan yang mempunyai 224 anggota itu.

Kesemua penggubal undang-undang yang tinggal di Mumbai itu menulis sepucuk surat kepada polis untuk memberikan perlindungan kepada mereka kerana mendakwa mereka bimbang Kumaraswamy dan Menteri Sumber Air Karnataka D.K. Shivakumar, yang kini menangani krisis tersebut bagi pihak Kongres, akan “menyerbu” hotel berkenaan.

Polis pada Rabu menghalang Shivakumar memasuki hotel itu untuk bertemu penggubal undang-undang terbabit yang memberontak.

Penggubal undang-undang terbabit turut memfailkan satu kes di Mahkamah Agung terhadap speaker dewan Karnataka yang didakwa enggan menerima peletakan jawatan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :