PBTSELANGOR

Kayuhan Santai Shah Alam semarak semangat patriotik

SHAH ALAM, 24 JUL: Bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara sempena Hari Kebangsaan, seramai 300 peminat sukan basikal bergabung dalam program Kayuhan Santai Shah Alam, pada 1 Ogos ini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana itu membabitkan penyertaan Kelab Basikal Shah Alam (KELAS), komuniti Shah Alam serta kelab-kelab basikal sekitar bandar raya berkenaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, peserta akan membuat kayuhan sejauh 17 kilometer (KM) bermula di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14.

“Peserta akan menyerahkan bendera Jalur Gemilang ke setiap perhentian yang ditetapkan iaitu membabitkan sekolah terpilih seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Seksyen 19 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 2 serta Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.

MBSA turut memberikan 300 baju-t percuma kepada 300 peserta terawal yang mendaftar untuk program kayuhan yang bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan peserta.

Shahrin berkata, program kayuhan itu adalah inisiatif pihaknya untuk bersama berganding bahu bersama warga Shah Alam meraikan sambutan Hari Kebangsaan, pada tahun ini.

Katanya, acara berbasikal adalah aktiviti sering diadakan pihak berkuasa tempatan itu kerana ia menjadi gaya hidup masyarakat pada masa kini untuk melakukan aktiviti
riadah, khususnya bersama keluarga.

“Kita melaksanakan pelbagai aktiviti berbasikal untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas antaranya Kayuhan Malam sempena sambutan Earth Hour, Kriterium Shah Alam dan Kayuhan Enduride.

“Melalui aktiviti ini, ia bukan sahaja dapat melahirkan warga yang sihat dan cergas tetapi juga dapat mengangkat Bandar Raya Shah Alam sebagai Bandar Raya Sukan,” katanya.


Pengarang :