NASIONAL

KBS digesa dedahkan belia dengan sistem pilihan raya

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUL : Srikandi KEADILAN menggesa semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memastikan belia diberi pendedahan awal berkaitan sistem pilihan raya di Malaysia seiring cadangan penurunan had umur mengundi.

Ketua Srikandinya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, kementerian perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menambah baik sistem pendaftaran pengundi yang kini dibuat secara manual.

Katanya, ia penting supaya pindaan had umur mengundi tidak hanya menjadi retorik yang tidak mempunyai kesan positif.

“Kita menyeru agar sesi pencerahan umum mengenai politik diadakan bagi membentuk anak muda yang cakna dengan perkembangan semasa. Pencerahan politik tidak bermaksud mengutarakan agenda parti politik tapi lebih kepada menerapkan semangat ingin tahu dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu mengambil contoh negara jiran, Indonesia misalnya, lebih separuh daripada bilangan pengundi mereka adalah dalam golongan belia, ianya juga adalah sasaran utama setiap parti politik yang bertanding agar golongan ini memihak kepada mereka, namun anak muda di sana jelas dan arif mengenai perkembangan semasa serta cakna isu nasional,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Nurainie berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meminda had umur mengundi di negara ini daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Katanya, langkah itu wajar memandangkan belia pada usia ini lebih matang dan cakna politik selain had umur mengundi 18 tahun bukan sesuatu yang baharu sebaliknya telah dilaksanakan di negara-negara jiran termasuk negara maju lain.

“Indonesia, Filipina dan Thailand sudah pun melaksanakannya selain negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan India.

“Langkah ini membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk bergiat dalam politik seterusnya menjadi pimpinan pelapis di masa akan datang, selaras dengan tekad Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengangkat suara anak muda bagi menerajui pimpinan masa depan.

“Kita menyeru menyeru semua Ahli Parlimen bagi menyokong usul ini di Parlimen serta mengundi bagi meminda had umur mengundi ini. Tindakan ini yang melangkaui batas-batas politik kepartian akan terpahat di sejarah sebagai antara warna kejayaan era Malaysia Baharu,” katanya.


Pengarang :