Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM ambil tindakan sub kontraktor gaji pemandu warga asing

SHAH ALAM, 21 JUL: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengambil tindakan ke atas salah seorang sub kontraktor di Subang Jaya yang didapati menggunakan perkhidmatan pemandu lori warga asing.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya turut kesal dengan insiden berkenaan kerana lori kompaktor itu dipandu oleh warga asing seperti yang ditularkan di media sosial.

“KDEBWM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas sub kontraktor kami yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka.

“Justeru, tindakan tegas sudah diambil ke atas salah seorang sub kontraktor yang menggunakan khidmat warga asing sebagai pemandu lori seperti yang ditularkan di media sosial hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, pihaknya juga mengarahkan semua sub kontraktor lain supaya memastikan mereka menggunakan khidmat pemandu warga tempatan yang mempunyai lesen memandu lori yang sah sahaja.

“KDEBWM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan salah seorang warga Serdang yang melaporkan insiden salah seorang sub kontraktor kami ini.

“Bagaimanapun, kami memohon kerjasama semua pihak supaya tidak terus menularkan video yang boleh menjejaskan imej dan nama baik syarikat kami atas insiden ini.

“Hal ini kerana satu kes yang terjadi ini tidak sewajarnya dijadikan indikator seolah-olah kesemua sub-kontraktor kami terlibat menggunakan pemandu warga asing,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KDEBWM akan terus komited memastikan negeri Selangor sentiasa bersih dan dalam masa yang sama pihak kami juga memberikan jaminan untuk sentiasa mematuhi lunas undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di Negara ini.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook berhubung video warga asing memandu lori KDEBWM.

Video berdurasi 32 saat itu mendapat kritikan netizen dengan perkongsian hampir 5,000 orang.


Pengarang :