SELANGOR

KDEBWM sumbang 40 tong sampah mudah alih

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 1 JUL: Sebanyak 40 buah tong sampah baharu jenis Tong Sampah Mudah Alih (MGB) diserahkan KDEB Waste Management (KDEBWM) kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22 Majlis Daerah Kuala Langat bagi program gotong-royong yang diadakan di Taman Mesra Kanchong Darat di sini.

Ketua Perhubungan Awam dan Media, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, sumbangan berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan kepada daerah itu.

“KDEBWM juga turut menyumbangkan hadiah cabutan bertuah berupa hamper dan barangan eletrik pada program terbabit.

“Kita turut berbesar hati munyumbangkan dua set tong kitar semula kepada Sekolah Kebangsaan Olak Lempit yang akan mengadakan Program Kitar Semula peringkat sekolah dalam masa yang terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, pihaknya turut menyumbang sebanyak tiga unit tong sampah jenis ‘Leach Bin’ kepada Jawatankuasa Penduduk Bagan Hailam.

“KDEBWM mendapat makluman bahawa tong sampah di kawasan terbabit rosak dan tidak dapat digunakan.

“Oleh itu, sumbangan tong sampah ini dapat membantu memudahkan proses pembuangan sampah domestik oleh penduduk dan juga memudahkan kerja kutipan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor amat mengambil berat akan permasalahan dihadapi penduduk dan masyarakat.

“KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat program yang bermanfaat khususnya membabitkan pengurusan sampah dan penjagaan alam sekitar seperti gotong-royong juga kitar semula,” katanya.


Pengarang :