AGENSISELANGOR

KDEBWM teruskan CSR edar tong sampah

SHAH ALAM, 24 JUL: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan lima tong sampah di dua lokasi di Subang Jaya dan Klang.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, tong sampah baru jenis ‘Leach Bin’ itu disumbangkan kepada Pangsapuri Desa Mentari 2 Petaling Jaya dan satu unit kepada Jawatankuasa Penduduk Bagan Hailam serta satu set tong sampah kitar semula disumbangkan kepada Pangsapuri Seri Nipah Pinggiran USJ.

Katanya, sumbangan tong sampah itu bukan sahaja dapat menggantikan tong sampah yang rosak, malah dapat membantu proses pembuangan sampah domestik lebih bersih dan teratur oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Selain itu, kerja-kerja kutipan sampah juga dapat dijalankan dengan lebih lancar oleh KDEBWM.

“Selain menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk di Pangsapuri Seri Nipah dan menyokong usaha penduduk dalam menyahut kempen kitar semula di kawasan kediaman mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor, amat mengambil berat akan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan masyarakat.

“KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat pihak yang amat memerlukan bantuan seperti ini sekaligus, dapat bersama-sama melestarikan kebersihan dan keindahan khususnya di Selangor,” katanya.


Pengarang :