BERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM teruskan CSR, sumbang tong sampah di Subang Jaya dan Klang

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 5 JUL: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneruskan tanggungajawab sosial korporatnya dengan menyampaikan sumbangan tong sampah di lapan lokasi Subang Jaya dan Klang baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, sumbangan tong sampah itu bukan sahaja dapat menggantikan tong sampah yang rosak tetapi sekali gus membantu proses pembuangan sampah domestik lebih bersih dan teratur oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 17 buah tong sampah baru jenis ‘Leach Bin’ dan 12 tong sampah kitar semula disumbangkan.

“Ia membabitkan kawasan Pangsapuri Seri Nipah Pinggiran USJ, Pangsapuri Sri Tanjung USJ 16, Pangsapuri UNIV360 Place Serdang dan Pangsapuri Kos Rendah Kinrara.

“Selain itu, pangsapuri kos rendah Wawasan 5 Puchong, Sekolah Kebangsaan USJ 20 Kuarters IPD USJ 8, SJK (C) Ying Wah Kapar dan juga Sekolah Kebangsaan Sijangkang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, kerja-kerja kutipan sampah juga dapat dijalankan dengan lebih lancar oleh pihak KDEBWM dengan adanya tong sampah itu.

“Manakala sumbangan tong sampah kitar semula bertujuan untuk menggalakkan amalan kitar semula di kalangan penduduk dan masyarakat serta menyokong usaha penduduk dalam menyahut kempen kitar semula di kawasan kediaman.

“KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor amat mengambil berat akan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat pihak yang amat memerlukan bantuan sekali gus dapat bersama melestarikan kebersihan dan keindahan khususnya di Selangor.


Pengarang :