Selangorkini
AGENDA NASIONAL

KDN kaji semula SOP permohonan kewarganegaraan

KUCHING, 29 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan kewarganegaraan bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara lebih teliti, adil dan cepat.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah SOP baharu yang dirangka KDN, terdapat garis panduan lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A.

Langkah itu bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira faktor kebajikan anak yang memohon taraf kewarganegaraan dan membabitkan tempoh masa yang dipendekkan daripada tiga tahun kepada paling lama hanya satu tahun.

“Saya amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa status warganegara untuk sekian lama,” katanya pada majlis penyampaian surat kelulusan kewarganegaraan Malaysia kepada 31 orang di UTC Kuching di sini, hari ini.

Majlis berkenaan sebahagian daripada janji dalam manisfesto Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh penduduk di negara ini termasuk di Sarawak.

Muhyiddin turut menegaskan tidak ada pintu belakang dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Dalam membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak meluluskan sesuatu permohonan, saya dibantu pegawai yang profesional dalam menjalankan tugas mereka dan setiap satu permohonan beserta dokumen pembuktian akan diteliti dengan rapi,” katanya.

Berhubung inisiatif, Muhyididn berkata KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu pengenalan diri dan kewarganegaraan terutama di Sarawak.

Ini termasuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan secara berterusan menerusi pelaksanaan Program Turun Padang dan perkhidmatan Unit Mobile dan Bus Mobile di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memastikan setiap permohonan yang layak dapat diterima, di samping memberi kesedaran dan kefahaman kepada pemohon melalui khidmat nasihat berkaitan permohonan kewarganegaraan.

“Sehubungan itu, saya amat menyambut baik penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PAKATAN di Sarawak untuk bekerjasama dengan JPN Negeri Sarawak dalam memudahcara permohonan kewarganegaraan bagi penduduk di negeri ini,” katanya.

Kemudian beliau turut mengadakan walkabout sekitar UTC Kuching untuk melihat sendiri urusan yang dijalankan di kaunter JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

-BERNAMA


Pengarang :