BERITA UTAMA

Kekal kebersihan, jadi contoh jemaah negara lain

MAKKAH, 30 JULAI: Jemaah haji Malaysia diminta supaya mengekalkan budaya kebersihan diamalkan jemaah haji sebelum ini bagi menjaga imej Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh kepada jemaah haji dari negara lain.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, Kempen Kebersihan Perdana Masyair dijalankan Lembaga Tabung Haji (TH) bersama jemaah haji tahun lalu mendapat pujian kerajaan Arab Saudi, malah mereka melihat ia menjadi contoh kepada negara lain.

Justeru katanya, selain meneruskan Kempen Kebersihan Perdana Masyair, TH bersama jemaah haji tahun ini melancarkan Kempen Kebersihan Maktab bagi meluaskan kempen kebersihan itu di maktab penginapan jemaah haji Malaysia di sini.

“Pada setiap (hari) Rabu jemaah haji akan menyertai kempen kebersihan ini yang mana kita bersama menjaga kebersihan bilik, ruang legar, dewan makan, surau, tangga, lorong dan pelbagai tempat di maktab kerana kebersihan ini mencerminkan iman.

“Mereka (jemaah haji) di sini untuk menjalankan ibadah haji jadi sudah tentu satu daripada ciri adab sebagai tetamu Allah adalah menjaga kebersihan, kerana itu moto kempen kita Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen itu di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu yang tinggal di sembilan maktab penginapan di sini dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata kempen itu dilaksana berkonsepkan ramah iaitu bersama beramah mesra mengeratkan hubungan, aman iaitu dengan kebersihan memberi keamanan buat jemaah di Tanah Suci, harmoni iaitu keharmonian bersama jemaah haji yang dipupuk apabila bersama dalam kempen itu.

“‘Rahmatan lil alamin’ yang mana konsep kebersihan itu sesuatu universal menyeluruh, Islam itu memberi rahmah yang menyeluruh di mana jemaah haji mampu jadi contoh kepada negara lain; dan hormat merujuk kepada menghormati jiran kita di sini dengan menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji dari Bangi, Selangor, Mohd Alimullah Ishak, 35, berkata kempen itu amat membantu dalam menyediakan persekitaran yang selesa untuk jemaah haji terutamanya bagi tujuan beribadah.

“Sudah tentu saya akan bersama jemaah haji lain menyertai kempen ini, menjaga kebersihan juga adalah suatu ibadah kita di sini,” katanya yang bertugas sebagai jurutera.

-BERNAMA


Pengarang :