Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Kelayakan umur bagi Residensi Wilayah dinaik kepada 21 tahun

PUTRAJAYA, 1 JUL: Syarat kelayakan umur bagi permohonan Residensi Wilayah dinaikkan daripada 18 tahun kepada 21 tahun bagi menjamin kesediaan pembeli membiayai kos perumahan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata sebelum ini, kelayakan umur bagi Residensi Wilayah yang telah dijenamakan daripada Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) pada 1 Feb lepas, adalah tidak munasabah.

“Sebelum ini umur 18 tahun tidak munasabah kerana ada masih bersekolah dan tidak bekerja. Ada kemungkinan nama mereka disalah guna pihak lain untuk membeli rumah (di bawah Residensi Wilayah yang tidak melebihi RM300,000).

“Kita khuatir ada pihak yang guna nama budak-budak (18 tahun) beli rumah dan beberapa tahun kemudian tukar nama atas nama pembeli sebenar,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dasar dan portal baharu serta aplikasi telefon pintar Residensi Wilayah semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di sini hari ini.

Khalid berkata kementerian itu akan mengambil kira pemohon berumur 18 tahun yang telah mendaftar sebelum ini.

Beliau berkata terdapat sebanyak 280,000 permohonan Residensi Wilayah yang mana 5,600 adalah pemohon berumur 18 tahun dan daripada jumlah itu, hanya dua peratus atau pun 10 orang yang diluluskan dan kebanyakannya dibiayai ibu bapa.

Katanya status pencapaian keseluruhan pelaksanaan Residensi Wilayah adalah sebanyak 47,889 unit daripada 70 projek sejak 1 Julai tahun lepas sehingga kini.

Khalid berkata kementerian itu juga telah membuat beberapa penambahbaikan bagi memantapkan lagi dasar rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan antaranya menetapkan keluasan minimum 900 kaki persegi berbanding 800 kaki persegi sebelum ini, penyediaan kemudahan guna sama yang ditambah baik serta pengiktirafan QLASSIC diwajibkan bagi menjamin kualiti pembinaan.

Mengenai aplikasi telefon pintar bagi program Residensi Wilayah, Khalid berkata ia bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan alat komunikasi itu selain portal.

“Ia bagi memudahkan capaian pengguna untuk membuat pendaftaran dan semakan bagi pembelian projek perumahan yang ditawarkan di bawah Residensi Wilayah,” katanya.

Beliau berkata aplikasi tersebut boleh dimuat turun daripada App Store bagi pengguna iOS dan Play Store bagi Android. – BERNAMA


Pengarang :