DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyiram pokok pada Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor 2019. -foto REMY ARIFIN (SelangorKini)
BERITA UTAMA

Keluarga diraja cemar duli sertai program tanam pokok

SEPANG, 21 JULAI: Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor 2019 tampak lebih berseri dengan keberangkatan pasangan diraja, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Tambah bermakna, apabila Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menyertai 2,000 peserta lain menanam 4,500 pokok di padang rekreasi Cyberjaya, hari ini.

Pada majlis itu, baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menanam pokok ‘Swietenia Macrophylla’ atau dikenali sebagai Pokok Tunjuk Langit.

Manakala Tengku Permaisuri Norashikin pula menanam pokok ‘Delonix Regia’ atau pokok Semarak Api dan Tengku Amir Shah menanam pokok ‘Caesalpinia Sappan’ atau pokok Sepang.

Sebanyak 1,500 pokok teduhan dan 3,000 pokok renek ditanam peserta terdiri daripada penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah serta daripada badan bukan Kerajaan.

Sementara itu, dalam sembah ucapannya, Amirudin berkata, program menanam pokok itu mula diadakan sejak 2017.

“Program Tanam Pokok Negeri Selangor yang pertama bersama DYMM Sultan Selangor diadakan pada 5 Mac 2017 di Taman Alam Kuala Selangor dengan 5,000 pokok bakau ditanam ketika itu.

“Program yang sama diteruskan pada 18 Mac 2018 bertempat di Hutan Simpan Kechil, Bagan Lalang Sepang dengan 3,000 pokok bakau berjaya ditanam,” katanya.


Pengarang :