SELANGOR

Kem PGA Batu 7 Cheras catat peningkatan wabak denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu 7, Cheras menunjukkan peningkatan wabak denggi semakin ketara sejak kebelakangan ini, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata, berdasarkan rekod, kawasan terbabit mencatatkan peningkatan wabak yang ketara berbanding lokasi lain.

Katanya, susulan peningkatan wabak berkenaan orang ramai terutama yang berhampiran kawasan itu perlu memainkan peranan untuk bersama mencegah kes denggi daripada terus berleluasa.

“Dalam hal ini, bukan sahaja kawasan awam malahan Kem Pasukan Gerakan Am di Batu 7 Cheras juga dikenal pasti antara lokasi wabak denggi dan saya rasa ia perlu dipandang serius semua pihak.

“Justeru itu, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati sengaja membiarkan Aedes membiak sekali gus menjadi punca denggi semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pelancaran Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor di Foyer Dewan Annex Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Sharifah Malihah Wan Mustapha berkata, kem terbabit sudah menerima makluman berkenaan wabak itu dan mereka akan bekerjasama bagi memastikan wabak itu dikurangkan.

“Saya difahamkan satu pertemuan sudah dijalankan dan kita sudah mengaturkan program gotong royong di kem terbabit tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, antara lima daerah di Selangor yang mencatatkan lokasi hotspot kes denggi iaitu di Petaling iaitu 62 lokasi diikuti Hulu Langat (26), Gombak (13) dan Klang serta Hulu Selangor masing-masing lapan lokasi.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :