AGENDANASIONAL

Kemalangan maut di tempat kerja turun 14 peratus pada 2018

GURUN, 20 JUL : Kadar kemalangan maut di tempat kerja mencatatkan penurunan sebanyak 14 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata kadar kemalangan maut yang direkodkan tahun lepas ialah 4.14/100,000 pekerja berbanding 4.90/100,000 pada tahun sebelumnya.

Selain itu, beliau berkata kadar kemalangan di tempat kerja juga menurun sebanyak 18 peratus iaitu 2.40/1,000 pekerja berbanding 2.93/1,000 pekerja bagi tempoh yang sama.

“Penurunan kadar kemalangan dan kematian ini sebenarnya atas kesedaran majikan dan pekerja semakin tinggi, selain pelbagai program dan inisiatif yang dijalankan menerusi kempen oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak berkepentingan,” katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata persekitaran kerja yang sihat dan selamat juga penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja dan organisasi sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negara.

“Kejadian kemalangan dan penyakit pekerjaan akan berlaku jika majikan serta pekerja tidak mengambil berat tentang aspek keselamatan. Jika statistik kemalangan maut dua orang setiap hari pada 2018 dijadikan ukuran, maka perlu segera melakukan sesuatu bagi memastikan ia dapat dikurangkan,” katanya.

Mahfuz berkata JKKP sentiasa berusaha meningkatkan penguatkuasaan yang berkesan bagi memastikan semua tempat kerja berada dalam keadaan selamat.

“Sebagai rekod, sebanyak 296,975 pemeriksaan di tempat kerja dan jentera dijalankan tahun lalu, daripada jumlah itu, sebanyak 27,024 notis dikeluarkan, 945 kesalahan dikenakan kompaun dan sebanyak 318 kes pendakwaan di mahkamah difailkan atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan amat komited dan prihatin dalam memastikan keperluan perundangan yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak yang terlibat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :