SELANGOR

Kempen bebas penyedut minuman plastik didik rakyat pelihara alam sekitar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUL: Kempen Penguatkuasaan Bebas Penggunaan Penyedut Minuman Plastik bermula secara rasmi hari ini membabitkan semua premis makanan, minuman dan restoran di seluruh Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, langkah Kerajaan Negeri ini untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi memelihara alam sekitar.

“Menerusi kempen ini, penyedut minuman plastik sekali guna tidak akan diberikan kepada pengguna secara automatik bagi setiap minuman dipesan.

“Penyedut minuman ini juga dilarang untuk disediakan di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan dan ia hanya akan diberikan (secara percuma) atas permintaan pelanggan untuk setiap minuman yang dipesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan notis dan poster kempen bebas penggunaan penyedut minuman plastik kepada pengusaha premis makanan di Plaza Shah Alam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan meletakkan klausa larangan penyedut minuman plastik dalam syarat permohonan lesen perniagaan premis makanan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, Selangor mahu bebas penggunaan plastik sekali guna pada 2025 dan sepanjang tempoh ini tiada tindakan penguatkuasaan berbentuk denda dikenakan.

“Kerajaan Negeri memberi masa yang cukup kepada pengusaha dan orang awam untuk membiasakan diri. Tidak ada penguatkuasaan atau denda untuk masa terdekat sebaliknya mendidik tidak lagi menggunakan bahan berunsur plastik.

“Jika sepuluh peratus daripada 3.2 juta rakyat Malaysia menggunakan penyedut minuman plastik setiap hari berapa jumlah sampah plastik yang akan terkumpul?. Perkara itu yang cuba Kerajaan Negeri sampaikan, bukan berniat menyusahkan rakyat.

“Sebelum ini, kita sudah mulakan (kempen bebas penyedut minuman plastik) di semua bangunan dan jabatan Selangor. Saya harap rakyat dapat berikan kerjasama,” katanya.

Loy Sian berkata, sebagai ganti kepada penyedut minuman plastik, pengguna dinasihatkan menggunakan bahan yang diperbuat daripada kertas, buluh atau besi tahan karat.

Sebelum ini, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan serta pasar bermula 1 Januari 2017.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :