EXCOSELANGOR

Kempen bebas plastik tanpa tutup kilang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Selangor tidak berhasrat menutup kilang plastik yang sudah beroperasi di negeri itu walaupun kempen bebas beg plastik dilaksanakan sejak 2009.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, langkah itu sama seperti kempen bebas asap rokok yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

“Tidak ada rancangan tutup kilang plastik sedia ada. Mereka hendak hasilkan produk, itu kuasa mereka. Ini macam rokok, kita larang rokok tetapi kita masih benarkan kilang rokok untuk hasilkan rokok. Jangan jadikan ia isu.

“Pengguna ada hak gunakan beg plastik, kita hanya didik pelanggan supaya mereka kurangkan beg plastik. Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang mempersoalkan tindakan Selangor terus membenarkan kilang plastik beroperasi, ketika menjalankan kempen bebas plastik.

Loy Sian memaklumkan, Selangor akan melaksanakan penguat kuasaan larangan penggunaan beg plastik secara menyeluruh menjelang 2025.

Dalam jawapan sama, beliau turut mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri yang melarang premis makanan di Selangor menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggannya.

Katanya, Selangor menggalakkan rakyatnya menggunakan penyedut minuman keluli tahan karat (stainless steel) dan turut menggalakkan premis makanan menyediakan penyedut minuman kertas kepada pelanggan.

Bermula 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan dan di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.


Pengarang :