AGENDAGLOBAL

Kempen melawat Malaysia dilancar di beberapa bandar raya utama di India

NEW DELHI, 22 JUL: Tourism Malaysia melancarkan kempen “Melawat Malaysia 2020” di beberapa bandar raya utama di India pada Isnin untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari pasaran utama sumber

Tiga puluh tujuh pemain industri pelancongan dari Malaysia, termasuk sembilan hotel, tiga syarikat penerbangan dan beberapa operator pelancongan, menyertai kempen dari 22 hingga 25 Julai di Amritsar, Mumbai dan Hyderabad.

Malaysia menerima 295,609 pelancong dari India antara Januari dan Mei tahun ini, mencatatkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sasaran untuk 2019 adalah 728,000 pelancong dari India.

Sulaiman Suip, pengarah Tourism Malaysia di Delhi, melancarkan kempen meliputi tiga bandar raya itu di Amritsar, di utara India.

Beliau berkata tarikan baharu yang diperkenalkan seperti destinasi percutian pantai Desaru di Johor dan tarikan kehidupan Laut di Legoland Malaysia Resort akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong dari India.

“Malaysia mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk setiap segmen, sama ada untuk mereka yangt hendak membeli-belah, pencinta alam, berbulan madu atau pelancong berkeluarga. Untuk mempromosikannya dengan lebih baik, kami telah meningkatkan fokus pada kempen digital dan platform media sosial,” kata Sulaiman.

Pejabat Tourism Malaysia di Mumbai, Delhi dan Chennai sedang meningkatkan keterlibatan dengan syarikat pelancongan tempatan untuk melancarkan pelbagai kempen promosi secara bersama. – BERNAMA


Pengarang :