Selangorkini
SELANGOR

Kenal pasti pemilik tanah penyumbang pembiakan Aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri akan mula melaksakan aktiviti penguatkuasaan membabitkan sumber dan aset terbiar sehingga menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sehingga kini terdapat 77 kawasan tanah terbiar diberikan notis arahan pembersihan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.

“Oleh itu, kita mahu mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk Pejabat Tanah dan Daerah setiap kawasan membantu mencari hak milik supaya perkara ini selesai.

“Kes demam denggi yang meningkat amat membimbangkan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan.

“Pada masa sama, kita juga akan melaksanakan program cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk di perumahan atau kawasan yang mengumpul air.

“Kita mahu musnahkan semua tetapi ini mesti dilakukan secara konsisten bukan tindakan sekali sekala sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, terdapat tujuh lokasi antaranya Dataran Automobil Seksyen 15 menjadi lokasi tumpuan pembiakan.

“Tujuh kawasan ini akan dilepaskan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Kawasan warga asing agak sukar untuk kita memberi pendidikan kepada mereka, jadi dalam perancangan kita juga untuk mengadakan program dengan majikan bagi memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Februari lalu, bagi mengawal penularan wabak denggi di Selangor, Kerajaan Negeri melaksanakan program ‘Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters’.

Program itu bagi memastikan pekerja mempunyai persekitaran selamat, manakala majikan mendapat pekerja yang sihat dengan peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.

 


Pengarang :