NASIONAL

Kenalpasti tapak pembuangan haram segera, elak jadi ‘bom jangka’

KULAI, 3 JUL: Kerajaan dicadang mengenalpasti semua tapak pembuangan haram termasuklah tapak pembuangan sisa kimia haram di seluruh negara dengan segera dalam usaha mencegah sebarang kejadian tidak diingini seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, berulang lagi.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini kerana tapak pembuangan haram ini disifatkan seperti “bom jangka” yang boleh menyebabkan kehidupan ramai orang terjejas terutama pada jangka masa panjang.

“Saya sifatkan tapak pelupusan haram sebagai ‘bom jangka’. Sekarang kita bercakap mengenai Pasir Gudang tetapi bagaimana pula di tempat lain? Saya amat bimbang.

“Saya pasti negeri lain juga ada industri kimia,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup seminar Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2019 peringkat negeri Johor di sini, hari ini.

Dengan kewujudan banyak tapak pelupusan haram, beliau rasa bimbang dan khuatir jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil jalan singkat dengan membuang sampah dan sisa kimia di tapak-tapak ini, yang pada masa hadapan akan mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekeliling.

Justeru itu, beliau berharap pihak berkuasa terutama agensi berkaitan lebih proaktif dalam mengenalpasti tapak pelupusan haram itu, sekaligus mengambil tindakan sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan sistem pengurusan kimia yang baik termasuk menggunakan strategi “cradle-to-grave” di mana setiap sebatian kimia ditangani di semua peringkat.

Strategi “cradle-to-grave” meliputi proses pengurusan bahan kimia dari mula ia dihasilkan sehingga ia dilupuskan.

Contohnya, program kawal selia komprehensif Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat, memastikan sisa berbahaya diuruskan dari masa ia mula dihasilkan, diangkut, dirawat, disimpan dan sehingga dilupuskan.

“Elemen penting untuk pelan berkesan termasuk menyediakan inventori lengkap untuk semua bahan kimia, melaksanakan strategi mengurangkan pembelian bahan kimia serta memilih bahan kurang toksik, membangunkan sistem penyimpanan dan pelabelan yang betul, mengenalpasti bahan kimia yang perlu dibuang serta memastikan pelupusan yang betul termasuk proses kitar semula,” katanya.

Lee turut menggesa syarikat kimia untuk mengawal selia industri secara kendiri dan menyokong inisiatif “Penjagaan Bertanggungjawab”, yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak tahun 1994 melalui inisiatif yang dipelopori Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM).

Menurutnya, “Penjagaan Bertanggungjawab” adalah etika dan komitmen yang diambil industri kimia bagi membina keyakinan dan kepercayaan dalam industri kimia global.

Selain itu, pihak pengurusan syarikat perlu mengenal pasti latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai bagi pekerja terlibat selain melaksanakan sistem.penyelenggaraan dan pembersihan mesra alam sekitar. – BERNAMA


Pengarang :