BERITA UTAMASELANGOR

Kepelbagaian budaya jadikan Selangor destinasi pelancongan unik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 1 JUL: Kepelbagaian budaya yang wujud di Selangor menjadi nilai tambah terpenting sebagai sebuah destinasi pelancongan unik di mata pelancong luar.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pelancong luar kagum dengan Malaysia, khususnya Selangor yang menyatupadukan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan harmoni serta saling menghormati.

“Ia sarat dengan tempat pelancongan bercirikan keagamaan, alam sekitar, sukan, peninggalan sejarah dan syurga membeli belah.

“Malah, kita juga mengetengahkan aspek gastronomi atau aneka pilihan hidangan bercirikan keunikan pelbagai bangsa di Malaysia mahupun rasa antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Warna Warni Aidilfitri Negeri Selangor 2019, di Dataran Pangsapuri Sri Perantau, di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; EXCO Lembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Pada masa sama, Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Negeri Selat Klang memberitahu, Selangor menerima kunjungan 7.3 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita menyasarkan angka berkenaan akan meningkat kepada 7.7 juta pengunjung bagi tahun ini.

“Kita juga berharap Selangor akan terus memacu ke gerbang kemajuan terutama untuk sektor pelancongan,” katanya.

 


Pengarang :