NASIONAL

Kerajaan akan laksana sesi libat urus dengan peneroka FELDA

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Sesi libat urus akan diadakan bersama peneroka FELDA bagi memberi penerangan berhubung cadangan mencantumkan tanah-tanah peneroka menjadi ladang besar, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sesi berkenaan akan dijalankan melalui Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP).

“Kami perlu giat berusaha untuk bercakap kepada mereka (peneroka). Kami hendak yakinkan mereka ia adalah cara untuk maju ke hadapan.

“Kalau kita nak guna kaedah sedia ada, kita lihat mereka tidak dapat tingkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan merancang tanah-tanah peneroka FELDA dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dengan cara yang lebih profesional.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha meyakinkan peneroka FELDA untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya dalam kalangan generasi pertama yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Menjelas lanjut, Mohamed Azmin berkata, langkah mencantumkan tanah-tanah peneroka itu akan membantu generasi awal FELDA, yang hampir 70 peratus peneroka telah berumur 60 tahun ke atas.

“Mereka tidak mempunyai kapasiti untuk terus kerja di ladang. Sekarang kami mahu menawarkan kepada mereka teknologi baharu, tapi kena cantumkan. Kami tidak memperoleh tanah itu. Kami perlu dapatkan persetujuan daripada peneroka sebab itu tanah mereka.

“Sekiranya kami dapat 1,000 atau 2,000 ekar (400 atau 800 hektar) bagi projek rintis dan ia berjaya, peneroka lain boleh bersama kami untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :