NASIONAL

Kerajaan gugur perkataan mandatori

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 8 JUL: Kerajaan berpendirian tegas menggugurkan perkataan mandatori bagi sabitan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hakim mempunyai pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara kepada pesalah.

“Masalah jenayah merunsingkan kita. Ia adalah berkaitan penyalahgunaan dadah. Untuk ini kita akan mengambil satu pendekatan tegas.

“Walaupun kita didesak supaya menggugurkan perkataan mandatori apabila mereka didapati membawa dadah sekian banyak, mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori.

“Kuasa hakim kita (tidak) ketepikan bahkan undang-undang menidakkan hak hakim untuk menyatakan hukuman yang dikenakan.

“Kita hapuskan perkataan mandatori dan kita kekalkan bahawa hakim boleh membuat pilihan sama ada hukuman mati atau penjara tidak kurang 10 tahun. Ini perkara serius dan perlu dikenakan hukuman berat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dalam sidang media sama, Dr Mahathir mengumumkan Kementerian Kewangan (MoF) akan memperuntukkan sejumlah wang untuk menaiktaraf serta membaik pulih kuarters anggota polis.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :