NASIONAL

Kerajaan kaji dakwaan projek tambak laut Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Kerajaan akan melakukan kajian terhadap dakwaan beberapa pihak mengenai projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada kehidupan nelayan dan alam sekitar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti berhubung dakwaan itu.

“Kita akan kaji pendapat mereka dan jika benar apa yang disangka oleh mereka, jadi kita akan ambil tindakan sesuai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perasaan tidak puas hati yang disuarakan pihak seperti nelayan dan badan bukan kerajaan tertentu berhubung projek itu.

Projek PSR dilaporkan dicadang bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui di mana lokasi sebenar ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, berada.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa polis dalam proses rundingan dengan pihak berkuasa sebuah negara untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

“He must know where the person is. I don’t know (“Beliau mesti tahu di mana orang berkenaan berada. Saya tidak tahu),” katanya.

Berhubung perkembangan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, Dr Mahathir berkata polis masih menjalankan siasatan mengenai kes itu.

“He (Abdul Hamid) said he is in the process of investigation, I don’t know what’s the result, but we will wait (Beliau (Abdul Hamid) berkata, dia dalam proses menyiasat. Saya tidak tahu apa keputusannya, tetapi kita akan tunggu),” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :