PASIR SALAK, 22 Julai — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kiri) menyampaikan peruntukan pembangunan masyarakat kepada Ketua Peserta Felcra Seberang Perak Ahmad Tarmidi Marlan (kanan) berjumlah RM206,200 pada Majlis Silaturrahimi Bersama Warga Felcra di Dewan Felcra Seberang Perak hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Kerajaan lulus RM34 juta sambung bina rumah kedua generasi Felcra

PASIR SALAK, 22 JUL: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34 juta bagi meneruskan pembinaan rumah generasi kedua Felcra di seluruh negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, terdapat 675 unit rumah generasi kedua Felcra di lima lokasi seluruh negara antaranya di Pekan serta Bera Pahang, serta Sukau di Kinabatangan, Sabah tertangguh pembinaannya dan memerlukan RM73 juta untuk diteruskan.

“Perkara ini telah diangkat, dibincang (di Kabinet) dan untuk peringkat awal kerajaan setuju meluluskan RM34 juta bagi meneruskan projek ini.

“Ini termasuk 140 unit di Pekan, Pahang…walaupun di Pekan, saya luluskan juga, 123 unit di Sukau serta (tanpa menyatakan unit) di Bera, Pahang,” kata Azmin semasa berucap pada majlis Silaturrahmi Bersama warga Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

(Kawasan Parlimen Pekan diwakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

Selain itu, Mohamed Azmin memberi jaminan untuk membawa isu tunggakan pembayaran kepada Koperasi Peserta Felcra berjumlah RM21 juta kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Kementerian Kewangan sambil berharap ia dapat diselesaikan segera.

Selain itu, Mohamed Azmin meminta agar pihak pengurusan Felcra memberi keutamaan kepada Koperasi Peserta Felcra sekiranya terdapat projek seperti membangunkan kawasan perladangan agar dapat menjana pendapatan koperasi.

“Ini selari dengan shares prosperity (kemakmuran saham). Jika beri keutamaan kepada mereka maka mereka akan ada pengalaman dan kebolehan serta boleh membayar dividen kepada peserta,” katanya.

Beliau menarik perhatian apabila mencadangkan pengurusan Felcra supaya tidak menggunakan keseluruhan kawasan tanah yang ada untuk menanam getah dalam projek tanaman semula.

Sebaliknya, beliau berkata sebahagian kawasan perlu diusahakan dengan tanaman kontan yang mampu memberikan pulangan cepat seperti nanas yang bukan sahaja terjamin, malah mempunyai permintaan tinggi. – BERNAMA


Pengarang :