SEPANG, 9 Julai — Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby pada sesi Flag Off Misi Kemanusiaan ‘Rebuild Gaza For Ummah’ oleh Mapim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan minta cadangan CSO tambah baik bantuan ke Gaza

SEPANG, 9 JULAI: Kerajaan mengajak semua pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkaitan untuk mengemukakan cadangan mengoptimumkan penggunaan sumber apabila menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, CSO boleh memberikan input kepada kerajaan berhubung cara terbaik untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka di lapangan yang membantu rakyat Palestin.

“Wisma Putra sedang mengkaji penyaluran wang kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Contohnya jika kerajaan membelanjakan USD100,000 untuk membantu rakyat Palestin, kita mengkaji kemungkinan bagaimana sebahagian daripada wang itu dapat disalurkan kepada CSO utama di lapangan (yang melakukan penyaluran bantuan kemanusiaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengucapkan selamat jalan kepada delegasi ke Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Delegasi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan terdiri daripada lapan orang sukarelawan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, yang akan kembali ke Malaysia pada 19 Julai ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Sani berkata, delegasinya bersyukur kerana dapat memasuki Gaza kali ini selepas 40 percubaan gagal untuk memasuki zon konflik itu dalam tempoh enam tahun.

Semasa berada di Gaza, beliau berkata MAPIM akan merasmikan pusat kebudayaan Malaysia dan pusat kajian pendidikan.

-BERNAMA


Pengarang :