Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu tujuh bomba cedera

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 11 JUL: Tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang termasuk sebuah kilang racun rumpai di Pulau Indah, baru-baru ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pihaknya berbesar hati menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai atas jasa anggota berkenaan yang bertungkus lumus memadam kebakaran sehingga cedera.

“Ini hanya sedikit sumbangan, apa yang paling penting masyakat perlu tahu tugas dan peranan bomba yang semakin mencabar ketika ini.

“Kerajaan harus peduli terhadap perkara ini. Anggota bomba mempunyai peranan besar, jadi kebajikan mereka perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berkenaan di Balai Bomba Pelabuhan Klang, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan ADN Pendamaran, Tony Leong Tuck Chee.

Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Mohd Naim Mohd Nasir.

Sementara itu, Mohd Naim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan ADN kawasan berkenaan yang prihatin akan peranan serta nasib anggota bomba yang sanggup menggadai nyawa menyelamatkan sesuatu kejadian.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, EXCO dan ADN kerana prihatin akan kebajikan kami. Apa yang penting, masyarakat perlu sedar serta lebih faham apa tugas bomba,” katanya.

Baru-baru ini, ketika kejadian, berlaku letupan dari bahan terbakar manakala sedikit runtuhan dan serpihan batu menimpa seorang mangsa, manakala empat anggota lain mengadu berasa berdengung telinga.

Seorang lagi anggota terjatuh ketika mengalihkan hos.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob mengalami kecederaan di kaki manakala anggota BBP Pelabuhan Klang, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman melecur di telinga selain muntah selepas dipercayai terhidu gas beracun dan mengalami gejala pening.


Pengarang :