Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri salur sumbangan mangsa ribut Felda Soeharto

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUL : Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan awal berjumlah RM39,250 kepada 39 keluarga mangsa ribut di Felda Soeharto, semalam.

Sumbangan di sampaikan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Agihan sumbangan mengikut kadar kerosakan dengan RM500 setiap keluarga bagi 18 rumah rosak teruk, manakala baki 121 rumah masing-masing menerima sumbangan RM250 yang dikategorikan rosak sederhana dan kecil.

Manakala, bagi kerosakan rumah, pihak berkaitan akan melakukan bancian dan menilai kerosakan setiap rumah serta dibentangkan ke peringkat jawatankuasa bencana negeri, hari ini.

Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, Mohamed Jamil Abu Bakar berkata, jumlah sumbangan di peringkat negeri berbentuk wang ringgit akan diberikan mengikut tiga kategori kerosakan.

“Rumah yang mengalami kerosakan teruk akan menerima sumbangan bawah RM50,000 manakala sederhana bawah RM20,000 sementara rosak kecil bawah RM10,000.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban mangsa terutama bagi menampung kos memperbaiki kerosakan akibat ribut,” katanya memetik Sinar Harian.

Mohamed Jamil berkata, sehingga hari ini jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Semai Bak Felda Soeharto, berkurangan kepada tujuh mangsa dari tiga keluarga.

Terdahulu, Penduduk Felda berkenaan berdepan detik cemas apabila rumah didiami dilanda ribut termasuk menerbangkan bumbung sebahagian rumah berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, ribut yang melanda kira-kira selama 20 minit itu turut menyebabkan empat keluarga peneroka di FELDA terbabit terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai berhampiran kerana rumah mereka rosak teruk.


Pengarang :