KUALA LUMPUR, 26 Julai — Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohammad Ariff Md Yusof bersama Pengerusi Kaukus Pembaharuan dan Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) bergambar bersama sebahagian peserta yang hadir pada Pembentangan Ekonomi Malaysia Kini dan Masa Depan di Parlimen hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Kerajaan PH serius laksana dasar ekonomi berasaskan keperluan rakyat

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serius dalam melaksana dasar ekonomi berlandaskan kepada keperluan semua rakyat dan bukannya untuk kaum semata-mata.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun, berkata langkah itu tidak akan menyentuh mengenai isu kuota dan hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, kalau kuota diperuntukkan oleh perlembagaan saya tidak persoal, atau kewujudan universiti macam UiTM (Universiti Teknologi MARA), tapi pendekatan kita haruslah menyeluruh kerana kalau kita ada satu rasa keprihatinan mendalam, (kalau) orang Melayu miskin, orang Cina miskin, itu (kita panggil) orang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata dasar ekonomi yang tidak berasaskan kaum itu juga akan menjadi antara keutamaannya jika diberi peluang untuk memimpin negara kelak.

“…jadi, apa yang saya perlukan ialah mempercepatkan prosesnya, tetapi saya sama, jika pun tidak lebih komited dari segi mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kedudukan orang miskin, dan menyekat kapitalisme yang tidak terkawal dengan menolong hanya segelintir konglomerat dan menafikan majoriti ramai.

“Ia bukannya program Anwar, tetapi ia program Pakatan Harapan, yang telah dimulakan di bawah Tun Mahathir (Dr Mahathir),” katanya.

Simposium Ekonomi Malaysia 2019 itu dianjurkan bersama Dewan Rakyat, Majlis Ahli-ahli Backbencher (BBC), Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen dan Parlimen Malaysia selaku hos.

Simposium yang pertama kali diadakan seumpamanya itu disasarkan menjadi acara tahunan sebagai platform libat urus dengan pemegang taruh mengenai hala tuju ekonomi Malaysia dan mengkaji semula prestasi ekonomi negara.

Antara pembentang pada simposium itu ialah Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus; Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Zakiah Jaafar; dan Profesor Ekonomi Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Edmund Terence Gomez. – BERNAMA


Pengarang :