AGENDANASIONAL

Kerajaan sasar kadar penembusan insurans negara lebih 75 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Kerajaan menyasarkan kadar penembusan insurans negara melebihi 75 peratus pada 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, bagi mencapainya, kerajaan akan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans, termasuk takaful, dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mereka tidak dibebani ketidaktentuan keadaan masa depan.

“Malaysia merupakan pasaran takaful keluarga yang semakin berkembang dan mempunyai potensi luas pada masa akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di pelancaran rasmi jenama FWD Takaful di sini, hari ini.

Menurut data Bank Negara Malaysia, hanya 41 peratus rakyat Malaysia dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu polisi insurans pada masa ini.

Lim berkata, penyertaan FWD Takaful dalam pasaran Malaysia menjadi petanda positif bagi industri takaful domestik, dengan pelaburan keseluruhan RM1.06 bilion selama lima tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Bhd, Salim Majid Zain berkata, pihaknya menyasarkan 15 peratus penguasaan pasaran bagi takaful di negara ini dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, FWD Takaful kini di kedudukan ke-11 dalam kalangan 12 syarikat insurans di Malaysia dan mahu menjadi antara lima firma utama dalam tempoh lima tahun ini.

“Kami yakin dengan potensi pertumbuhan jangka panjang industri takaful di Malaysia memandangkan negara akan terus menjadi antara hab global terkemuka bagi kewangan Islam.

“Bersama-sama penyedia lain dalam industri ini, kami mahu mewujudkan pasaran takaful yang lebih pesat, menawarkan pelbagai penyelesaian takaful untuk pelbagai keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

FWD Takaful secara rasmi melancarkan jenamanya hari ini dan memperkenalkan visi untuk mengubah pandangan orang ramai mengenai takaful.

Jenama itu, yang menjadikan Malaysia sebagai pasaran kesembilan FWD Group dalam tempoh hanya lima tahun, akan memanfaatkan kelebihan serta kepakaran FWD dalam perniagaan insurans dan perlindungan.

Langkah itu bertujuan memperkukuh kedudukannya di peringkat tempatan sebagai pengendali takaful keluarga yang menawarkan pendekatan inovatif bagi memahami produk selain kaedah jelas dan mudah untuk tuntutan.

FWD Takaful merupakan unit perniagaan takaful pertama FWD Group – perniagaan insurans bagi kumpulan pelaburan Pacific Century Group yang turut meliputi Hong Kong dan Macau, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Jepun dan Malaysia. – BERNAMA


Pengarang :