NASIONAL

Kerajaan setuju pendaftaran automatik umur mengundi 18 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 8 JUL: Kerajaan bersetuju untuk mendaftarkan individu berumur 18 tahun secara automatik bagi kelayakan hak mengundi.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

“Kita (Kerajaan) bersetuju supaya mereka anak muda berumur 18 tahun berhak untuk mengundi dan akan didaftar secara automatik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan persetujuan Kabinet menurunkan had umur mengundi pada pilihan raya umum akan datang daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Syed Saddiq yang ditemui selepas sidang media Majlis Presiden PAKATAN berkata, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin parti pada Rabu ini bagi memperhalusi perkara berkenaan termasuk mengurangkan umur calon bertanding kepada 18 tahun.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :