ADNSELANGOR

Kerja mitigasi banjir di Rawang sedang giat dijalankan

RAWANG, 31 JULAI: Kerja mitigasi bagi mencegah banjir di Jalan Kawasan Perindustrian Rawang kini sedang giat dijalankan, kata Ahli Dewan Negerinya, Chua Wei Kiat.

Beliau yakin kejadian banjir kilat yang berlaku pada 22 Julai lalu adalah kejadian terakhir bagi penduduk membuat aduan di media sosial.

“Sebelum ini memang kita sering menghadapi masalah banjir kilat, namun ia tidak teruk seperti dahulu lagi.

“Buat masa sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melebarkan Jalan Kawasan Perindustrian Rawang dan menaik taraf Sungai Gong, dan dijangka selesai menjelang 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian banjir kilat bersama Jabatan Pengairan Saliran, JKR, Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah Gombak.

Pada masa sama, Wei Kiat berkata, jambatan haram yang dibina pada anak Sungai Gong berhampiran tol Rawang akan dirobohkan dalam usaha mengurangkan kesan banjir.

“Cadangan perobohan itu dibuat ekoran palong bawah jambatan itu tersumbat dengan sampah yang menghalang kelancaran air.

“Didapati jambatan itu dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada penyelenggaraan dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Katanya, kesan banjir juga akan berkurangan selepas projek kolam takungan banjir di bawah seliaan JPS Gombak siap, pada September ini.

 


Pengarang :