BERITA UTAMA

Kerja pembaikan LRA Sungai Selangor ditangguh

SHAH ALAM, 19 JUL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menangguhkan kerja pembaikan Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 pada Selasa depan berikutan insiden pencemaran bau di kawasan LRA berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya mengesan berlaku pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, antara jam 2 hingga 2.30 petang tadi yang merekodkan bacaan 4 Ton serta menyebabkan ketiga-tiga logi terpaksa dihentitugas.

“Memandangkan insiden ini membabitkan hentitugas tiga loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

“Kami juga telah memaklumkan insiden ini kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain menghubungi Unit Bencana Negeri bagi membantu kami menangani situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kadar kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar pada jam 5 petang dan telah kembali beroperasi, manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada jam 7 petang serta dalam proses pengoperasian semula.

Katanya, Air Selangor dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran dan insiden ini mungkin boleh berulang maka pihaknya tidak dapat memberi jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dihadapi semua pelanggan akibat insiden ini,” katanya.

Seperti dimaklumkan sebelumnya, sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 akaun pelanggan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang / Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual berikutan insiden berkaitan.


Pengarang :