AGENDANASIONAL

Kes pelajar keracunan makanan: SPR mohon maaf

GEORGE TOWN, 25 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memohon maaf kepada pelajar Politeknik Balik Pulau dekat sini yang mengalami keracunan makanan selepas menghadiri Program Pendidikan Pengundi anjurannya, semalam.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan turut menzahirkan rasa kesal dan bersimpati terhadap pelajar terbabit dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menangani kejadian itu.

“Susulan kejadian ini, SPR telah dimaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Menurutnya, SPR telah melantik sebuah syarikat pembekal makanan tempatan bagi menyediakan makanan tengah hari untuk pelajar, tenaga pengajar dan petugas SPR semasa program itu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Hospital Balik Pulau, seramai 85 orang pelajar telah disahkan mengalami keracunan makanan dan daripada jumlah ini, 84 orang telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang pelajar telah dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut,” katanya.

Azhar turut meminta pelajar dan tenaga pengajar terlibat supaya menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya masih merasa tidak sihat dan terdapat tanda-tanda keracunan makanan.

Beliau berkata, SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah menganjurkan program itu bersama Politeknik Balik Pulau, semalam bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang proses pilihan raya negara membabitkan seramai 207 pelajar.

– BERNAMA


Pengarang :