AGENDA NASIONAL

Kes rasuah VLN Ahmad Zahid dipindah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan meneliti afidavit yang difailkan dalam permohonan tersebut.

“Mahkamah mendapati tiada mana-mana pihak yang akan diprejudiskan (dalam kes ini) dan demi kepentingan semua pihak, mahkamah benarkan kes ini dipindahkan ke Shah Alam,” katanya yang turut menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dengan keputusan itu, ini bermakna tujuh pertuduhan tersebut akan dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang turut dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid, 66, didakwa menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada syarikat sama berhubung Sistem VLN dan pihak pendakwaan pada 24 Julai lepas, turut memfailkan notis usul untuk memindahkan kesemua 33 pertuduhan itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid berhujah pihaknya memohon tujuh pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam memandangkan anak guamnya menghadapi lebih banyak pertuduhan rasuah di mahkamah tersebut (Mahkamah Sesyen Shah Alam).

Beliau berkata saksi-saksi dan transaksi yang terlibat dalam kesemua 40 pertuduhan di kedua-dua mahkamah itu adalah sama kecuali waktu kejadian berbeza manakala fakta kes juga hampir serupa.

“Mengenai hujahan bertulis pihak responden (pihak pendakwaan) dalam afidavit yang menyebut mengenai kesenangan saksi-saksi yang menetap di sekitar Kuala Lumpur atau Putrajaya, pihak kami menghujahkan pengadu dalam kes ini juga mempunyai rumah di Shah Alam selain di Putrajaya, jadi, tiada isu kenapa perlu kes ini dikekalkan di Kuala Lumpur.

“Kami sebenarnya memohon tarikh awal dan kami tidak akan memperolehnya jika kes ini (didengar) di Kuala Lumpur. Anak guam saya juga mempunyai kes lain di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah ,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun yang mewakili pihak pendakwaan pula berhujah, kepentingan keadilan adalah untuk perbicaraan didengar di Kuala Lumpur kerana kebanyakan saksi berpusat di sekitar bandar raya itu dan jika mahkamah membenarkan kes dipindah ke Shah Alam, ia akan menyebabkan kesulitan kepada saksi-saksi.

Berhubung hujah pihak pemohon (Ahmad Zahid) bahawa majoriti pertuduhan adalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Gan berkata perbuatan serahan suapan yang dikatakan berlaku di Country Heights, Kajang, menyebabkan kes tersebut terpaksa difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berikutan kawasan itu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah tersebut.

“Bilangan pertuduhan tidak material untuk dipertimbangkan oleh mahkamah, sebaliknya kepentingan keadilan adalah kesenangan saksi dan di mana fakta-fakta kes berlaku.

“Mengenai hujahan pemohon untuk dapat tarikh awal, terpulang kepada mahkamah untuk tetapkan tarikh yang sesuai. Pihak-pihak hanya boleh tulis surat kepada mahkamah untuk minta tarikh dipercepat, kita tidak boleh membuat spekulasi apa tarikh bicara yang boleh diberi oleh mahkamah. Jika kes kekal di Kuala Lumpur, pemohon juga tidak akan diprejudiskan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :