NASIONAL

Kes tatatertib JBPM turun secara konsisten dalam tempoh empat tahun

 

KOTA BHARU, 2 Julai : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan penurunan kes kesalahan tatatertib secara konsisten dalam tempoh empat tahun lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata penurunan kes kesalahan tatatertib bermula pada 2015 dengan 115 kes, berkurangan kepada 108 kes pada 2016 dan 2017 manakala 61 kes dicatatkan pada tahun lepas.

“Tahun ini kita dapati jumlah kes turun lagi kepada 26 kes setakat awal bulan ini. Perkembangan ini suatu yang amat baik dan kita harap JBPM akan terus mengekalkan rekod cemerlang ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Bicara Governans Intergriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Kelantan Md Salleh Sarbini, Anggota Lembaga Pengarah Institut Intergriti Malaysia (INTERGRITI) dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Ramli Ismail.

Mohammad Hamdan berkata penurunan itu satu perkembangan yang membanggakan JBPM hasil daripada pelbagai program kesedaran dan penguatkuasaan yang dilaksanakan setiap tahun.

“JBPM memang tidak akan berkompromi dengan kakitangan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam Akta 341 dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini seramai tujuh anggota telah ditamatkan tugas selepas didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan termasuk gagal hadir bertugas, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Antara kesalahan lain yang juga akan dikenakan tindakan tegas, katanya termasuk kakitangan keluar negara tanpa kebenaran dan terlibat dengan kehilangan aset jabatan.

Katanya Unit Intergriti JBPM sentiasa bergerak aktif memantau gerak kerja dan kelakuan kira-kira 15,000 anggotanya di seluruh negara agar mematuhi peraturan terutama dari aspek kekemasan diri dan pelaksanaan tugas.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kes membabitkan kesalahan rasuah direkodkan bagi JBPM Kelantan.

-BERNAMA


Pengarang :