NASIONAL

Khazanah perluas pendedahan pelaburan di AS

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Khazanah Nasional Bhd meluaskan pendedahannya di Amerika Syarikat (AS) dengan mengenal pasti pelaburan dalam sebahagian besar firma teknologi yang menggunakan analitis data.

Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pelaburannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata, pada masa ini pendedahan di negara ini masih agak kecil, dan oleh itu dana kekayaan negara itu sedang mengenal pasti teknologi yang berpotensi untuk dibawa balik dan dilgunakan di Malaysia.

“Kami mempunyai pelaburan dalam syarikat yang sebenarnya pakar dalam analitisis data, namun apa yang kami ketahui di AS, terutama syarikat biasa sekali pun, menggunakan analitisi data ini dalam membuat keputusan harian mereka.

“Oleh itu, saya jangkakan ia semakin berkembang dan banyak syarikat besar sudah melakukannya,” katanya kepada Bernama di luar persidangan Kerja Masa Hadapan di sini hari ini.

Beliau berkata, Khazanah juga akan terus melabur secara aktif di Malaysia, negara-negara Asia Tenggara, serta China dan India.

Mengenai pegangan Khazanah dalam aset strategik, Tengku Azmir berkata: “Kami pasti akan memegang peratusan minimum dalam tempoh tertentu, namun untuk aset lain, kami akan melabur dan melepaskan.

‘’Kami mempunyai mandat baharu sejak beberapa bulan, yang kini berjalan lancar dari segi pelaksanaannya yang melibatkan usaha mengimbangi sebahagian portfolio kami hari ini dan juga mengurangkan sebahagian daripada hutang kami,” katanya.

Khazanah pada Mac mengumumkan bahawa ia akan memecah portfolionya, dengan aset komersil yang membentuk 70 peratus, selain mahu melepaskan beberapa atau kepentingan penuh dalam syarikat pada masa dan harga yang tepat.

Baki 30 peratus aset terdiri daripada aset strategik seperti Malaysia Airlines Bhd (MAS), Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd,,

Namun, Tengku Azmir enggan mengulas mengenai nasib MAS.

Baru-baru ini, pengasas bersama AirAsia Group Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab menyatakan minat untuk memulihkan syarikat penerbangan negara yang sakit itu.

– BERNAMA


Pengarang :