SELANGOR

Kilang simpan 1.5 tan tong gas ammonia sedang disiasat-EXCO

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 13 JULAI: Kerajaan Selangor mengesahkan sebuah kilang di Pulau Indah yang didakwa menyimpan kira-kira 1.5 tan tong gas ammonia sedang dalam siasatan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, siasatan itu dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan ekoran kilang terbabit menyimpan tong gas ammonia dalam jumlah yang banyak.

“Kita tidak tahu kenapa kilang itu menyimpan tong gas ammonia dalam jumlah yang banyak, adakah hanya untuk simpanan sendiri ataupun dibekalkan kepada kilang lain.

“Kerajaan Negeri sangat memandang serius isu ini kerana pernah berlaku kejadian gas ammonia bocor di Klang tidak lama dulu sehingga menyebabkan seorang pekerja kilang mati dan pelajar sekolah muntah,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan penemuan 1.5 tan tong gas ammonia selepas kejadian kebakaran yang membabitkan tiga kilang di Pulau Indah, pada 5 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pihaknya merancang untuk memanggil semua Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengenal pasti kilang yang menyimpan gas ammonia.

“Kita akan lihat berapa banyak kilang yang simpan gas ammonia dan membuat keputusan sama ada akan memindahkan kilang berkenaan jika dekat dengan penduduk.

“Ini kerana Kerajaan Negeri tidak mahu penduduk atau murid-murid sekali lagi menjadi mangsa,” katanya.

 


Pengarang :