SELANGOR

Kilang simpan ammonia nyaris terbakar, PBT perlu tegas

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 11 JUL: Pihak berwajib khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas dan memantau operasi kilang berlesen atau haram supaya tidak menyimpan bahan terlarang sehingga boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, hal itu kerana terdapat sebuah kilang yang menyimpan gas ammonia seberat 1,500 kilogram (kg) bersebelah salah sebuah kilang yang terbakar baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila diberitahu bomba bahawa kilang berkenaan menyimpan gas ammonia dengan jumlah yang banyak.

“Cuba bayangkan sekiranya bomba lambat mengetahui dan kebakaran merebak ke kilang berkenaan, apa akan terjadi kepada penduduk sekitar?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan dan sumbangan kepada anggota bomba yang cedera dalam kejadian itu di Balai Bomba Pelabuhan Klang, di sini.

Azmizam berkata, penduduk beradius 25 hingga 30 kilometer akan terkesan dan lebih-lebih lagi 10,000 penduduk kampung tradisi Pulau Indah, Armada Putera dan Laguna Park.

“Saya juga difahamkan ini kejadian kedua berlaku di kawasan sama, malah pemilik kilang juga menjalankan operasi bukan dalam zon sepatutnya.

“Sepatutnya pihak berkaitan tidak boleh menjalankan operasi itu kerana walaupun kawasan industri tetapi ia bukan untuk industri berat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pihak terbabit mewujudkan zon penampan selain garis panduan lebih ketat.

Baru-baru ini, tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah.

Selain memadam kebakaran, anggota berkenaan turut berusaha memindahkan gas ammonia itu selama dua jam.

Manakala operasi memadam kebakaran kilang berkeluasan 60,000 kaki persegi itu mengambil masa lebih kurang tujuh jam dengan kekuatan 60 anggota.


Pengarang :