Selangorkini
SELANGOR

Kitar Strata galak penduduk bayar caj selenggara

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 7 JUL: Sebanyak 20 pangsapuri sekitar Ampang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Gombak dipilih menjalankan program Duplikasi K-Inovasi dalam usaha melahirkan komuniti berdaya dan berkualiti.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, menerusi program itu, penduduk pangsapuri boleh menghantar barangan kitar semula ke pusat pengumpulan barangan dan akan mendapat transaksi secara kupon.

Katanya, kupon berkenaan boleh digunakan untuk pembayaran caj selenggara unit penghuni.

“Inisiatif kitar strata dapat menggalakkan penduduk lebih bertanggungjawab terhadap bayaran caj penyelenggaraan malah dapat mengatasi masalah pengurusan sampah yang kurang efektif.

“Ia juga boleh mendidik anak-anak secara tidak langsung untuk belajar bagaimana untuk mengasingkan sampah, ini lebih baik untuk kita memberi mereka kesedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Duplikasi K-Inovasi di Pangsapuri Desa Sepakat, Taman Sri Manja, di sini.

Haniza berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM90,000 sebagai geran projek berkenaan.

Katanya, setiap pangsapuri yang dipilih akan menerima geran berjumlah RM4,500 untuk menjayakan program itu di kawasan masing-masing.

“K-Inovasi adalah salah satu program yang mengiktiraf idea serta usaha kreatif dan inovatif sebahagian Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Badan Pengurusan (MC) dalam melaksana projek inovasi bagi tujuan menambah baik dan memudahcara pengurusan dan komuniti pangsapuri.

“Projek inovasi dilaksana seperti Pusat Kitar Strata dan pembayaran elektronik (e-pay) bukan sahaja berjaya malah meningkatkan kualiti persekitaran kejiranan selain menjana pendapatan lebihan bagi menampung kekurangan kutipan caj,” katanya.

Beliau berkata, Pangsapuri Iris di Saujana Utama menjadi perintis mencipta projek e-pay manakala Pangsapuri Kenanga, Gombak Permai dengan Pusat Kitar Strata.

“Kedua-dua projek ini akan dimanfaatkan ke semua pangsapuri dipilih dan menjadi mentor kepada pangsapuri itu melalui projek K-Inovasi ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kejayaan inovasi JMB dan MC menunjukkan pangsapuri negeri itu perintis dalam melaksanakan tindakan mekanisme pembiayaan komuniti iaitu salah satu pelan tindakan digariskan dalam Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018.

“Idea ini juga diiktiraf Kerajaan Persekutuan sehingga dimasukkan dalam pelan tindakan DRN bagi mencapai fokusnya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :