NASIONAL

KKM gantung lesen produk air minuman berbungkus

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUL: Kementerian Kesihatan (KKM) menggantung lesen produk air minuman berbungkus (AMB) berkuatkuasa pada 28 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memandang serius isu penarikan balik produk air AMB jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

“Produk AMB yang berisipadu 500ml dan 1500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 11 Mei 2021 dan 13 Mei 2021.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalankan verifikasi ke atas kilang dan didapati program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

“Di samping itu, hasil analisis terhadap jenama Starfresh yang dieksport ke Singapura dan jenama Waterfuns dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana didapati tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

“Produk ini boleh dikenal pasti melalui tarikh akhir terdapat pada label. KKM juga mengarahkan pihak kilang untuk menarik balik produk AMB di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi maksud perdagangan atau perniagaan adalah tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, pihak kilang juga secara sukarela
menarik balik jenama lain produk AMB iaitu Iceberg, Sukahati, Rofina, Dixy
Green dan Dixy Blue.

“KKM akan meningkatkan pemantauan terhadap penjualan produk air
minuman di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan Akta Makanan
1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan
360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna yang membeli produk AMB dengan jenama dan tarikh akhir yang terbabit agar tidak minum produk itu.


Pengarang :