AGENDANASIONAL

KKM mahu JPA tambah kakitangan sektor perubatan

SERIAN, 26 JUL : Kementerian Kesihatan (KKM) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan jawatan dalam sektor perubatan berikutan pengembangan kemudahan kesihatan awam di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata walaupun terdapat penangguhan pengambilan penjawat awam keseluruhannya, sektor perubatan adalah perkhidmatan penting.

Kami mahu meyakinkan JPA untuk menambah bilangan jawatan kakitangan, supaya kami mempunyai lebih banyak pengambilan doktor dan jururawat pada tahun-tahun akan datang,” kepada kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan klinik kesihatan Siburan dekat sini hari ini.

Klinik kesihatan jenis 3 yang dibina dengan kos RM28.7 juta itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan dengan kapasiti mengendalikan 500 pesakit sehari yang dijangka siap pada Disember 2021. Beliau berkata adalah juga penting bagi kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai kerjasama yang rapat dalam perkhidmatan kesihatan kerana kerajaan persekutuan akan melaksanakan beberapa siri projek ke seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Dr Lee berkata empat klinik lagi dirancang dibina pada tahun ini iaitu klinik bandar di Tabuan Jaya, Kuching; di Serian; Daro dan Miri.

Kerja-kerja pembinaan dua projek yang tertangguh membabitkan Hospital Sri Aman dan Hospital Petra Jaya juga akan bermula tahun ini selepas kontraktor baharu dilantik, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata pembinaan klinik kesihatan di kawasan itu memberi kelegaan kepada pesakit luar dan masyarakat di Siburan serta kawasan sekitarnya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Klinik kesihatan sedia ada yang beroperasi sejak 1964 tidak dapat menampung kira-kira 46,686 orang di Siburan iaitu memberi perkhidmatan sehingga 300 pesakit setiap hari, katanya.

Pada masa ini, klinik pesakit luar yang berhampiran adalah di Kota Sentosa, iaitu 16km dari situ manakala Hospital Umum Sarawak di Kuching sejauh 26km. -BERNAMA


Pengarang :