NASIONAL

Kontrak LRT 3 IJM bernilai RM1.12 bilion ditamatkan

KUALA LUMPUR, 9 JUL: Kontrak Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) bernilai RM1.12 bilion yang sebelum ini diberikan kepada IJM Corporation Bhd telah ditamatkan berikutan penstrukturan semula projek itu.

Syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) menerima notis penamatan kerja bawah tanah daripada MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCB-GK) pada Isnin.

“Penamatan itu disebabkan oleh projek tersebut telah distrukturkan semula daripada projek dengan model rakan pelaksana projek (PDP) kepada model kontrak harga tetap mengikut arahan kerajaan.

“Rangka kerja kontrak baharu itu telah menyebabkan peranan MRCB-GK sebagai PDP di bawah Perjanjian PDP dengan Prasarana Malaysia Bhd ditamatkan.

“Berikutan penamatan itu, dan menurut syarat-syarat kontrak, MRCB-GK sebagai PDP, telah mengeluarkan notis kepada IJMC,” kata IJM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

IJMC menerima surat setuju terima bagi projek itu, pakej bawah tanah LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, bagi kontrak berjumlah RM1.12 bilion, termasuk enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan, pada 13 Mac tahun lalu.

Projek itu yang melibatkan reka bentuk dan pembinaan terowong bawah tanah, stesen, bangunan tambahan dan kerja-kerja berkaitan lain, pada awalnya dijadualkan siap dalam tempoh 31 bulan.

“Kerja-kerja awal telah bermula sebelum projek itu digantung pada Jun 2018. IJMC kini sedang berunding dengan penasihatnya dan akan berusaha mendapatkan tebus rugi undang-undang yang wajar di bawah kontrak tersebut.

“Selain daripada potensi pendapatan daripada projek itu, penamatan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan ketara ke atas kedudukan kewangan kumpulan,” kata IJM.

– BERNAMA


Pengarang :