NASIONAL

KPDNHEP bangun data raya barangan pengguna – Saifuddin

PUTRAJAYA, 2 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memiliki data raya, yang dibangunkan sendiri serta mengandungi lebih 40,000 jenis barangan pengguna, pada tahun depan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata beberapa pegawai kementerian itu sedang menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi memiliki kemahiran membangunkan data raya mengikut acuan kementerian itu.

“Dengan data tersebut, kementerian boleh membuat jangkaan terhadap paten dan potensi turun naik sesuatu barangan mengikut kawasan, daerah dan negeri serta musim tertentu,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Maklumat daripada data itu juga akan dijadikan panduan untuk kementerian memperkenal program dan dasar tertentu berkaitan kepenggunaan pada masa akan datang, katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pihaknya kini dalam fasa akhir penyediaan kertas kabinet berhubung pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan dijangka boleh dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada bulan ini.

“Perkara berkaitan kerangka, mekanisme dan kaedah pelaksanaan telah dimuktamadkan bersama MOF (Kementerian Kewangan) pada mesyuarat minggu lepas,” katanya, sambil menambah kertas kerja itu turut melibatkan maklum balas Kementerian Kewangan.

Beliau berkata inisiatif itu sedia dilaksanakan tahun ini setelah mendapat ‘lampu hijau’ Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menyeru komuniti korporat mengambil peluang membayar kompaun melalui kemudahan pengurangan kadar kompaun secara automatik yang dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bermula semalam.

Antara lain, mekanisme dan kadar pengurangan kompaun secara automatik itu menetapkan mereka yang menjelaskan dalam tempoh satu hingga 40 hari akan menikmati kadar pengurangan dari nilai asal kompaun sehingga 85 peratus, katanya.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan hadis untuk menolak usul pengisytiharan harta yang dibentangkan di Parlimen kerana berlawanan dengan pendirian parti itu sebelum ini.

Menurut Saifuddin, Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian sebelum ini pernah mencabar pemimpin kerajaan terdahulu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri untuk mengisytiharkan harta.

Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Anggota Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing selepas usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong itu dibahaskan oleh 26 anggota Parlimen.

Saifuddin berkata pengisytiharan harta merupakan satu mekanisme bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan integriti dan melawan rasuah. – BERNAMA


Pengarang :