GEORGE TOWN, 14 Julai — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri) melihat produk-produk buatan Malaysia semasa melakukan lawatan di ASEAN Products Trade Centre (APTC) hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

KPDNHEP bangunkan e-dagang, bantu turun harga barang

GEORGE TOWN, 14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membangunkan sistem e-dagang dalam usaha mengurangkan harga barangan terutama barang keperluan serta kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem itu sedang dibangunkan oleh pasukan khas di kementeriannya dan beliau sendiri memantau serta meneliti kemajuan pembangunan sistem berkenaan.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini bersetuju untuk KPDNHEP membangunkan sistem berkenaan bagi menjual barangan keperluan terus kepada pengguna supaya dapat mengurangkan harga barang dan pada masa sama kos sara hidup juga dapat diturunkan.

“Saya tidak dapat maklumkan bila sistem itu dapat diguna pakai kerana sekarang ini pasukan khas sedang membangunkannya dan kita akan buat beberapa percubaan sebelum ia dapat diguna oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Product Trade Centre (APTC), di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga banyak belajar daripada sebuah syarikat e-dagang di China ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri itu pada Februari lalu dan 20 pegawai tinggi KPDNHEP turut dihantar untuk berkursus selama dua minggu.

Saifuddin Nasution berkata, syarikat itu menjual pelbagai barangan keperluan dan runcit dengan harga yang murah dan pihaknya turut belajar beberapa perkara bagi mengurangkan kos supaya barang dapat dijual dengan harga murah.

Katanya, barangan di negara ini dijual dengan harga yang mahal kerana melalui beberapa lapisan sebelum sampai kepada pengguna.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP menyambut baik inisiatif syarikat Suiwah Corporation Berhad mengumpul pengeluar produk di APTC untuk memperluaskan perdagangan mereka ke negara China.

Beliau berkata, APTC adalah tempat untuk mempamerkan produk Malaysia dan akan dikunjungi pedagang dari luar negara terutama China dan secara tidak langsung menjadi pusat sehenti.

“Usaha individu untuk meluaskan peluang perniagaan ke China bukan senang dan mungkin memerlukan sumber serta modal yang lebih jadi usaha dibuat syarikat Suiwah ini harus dipuji kerana mereka bergabung tenaga serta sumber dengan pedagang, pengilang di Malaysia untuk mengadakan APTC,” katanya.

Malaysia juga akan menghantar 2,000 produk untuk dipamerkan di China sempena expo di sana pada September ini dan APTC itu adalah peluang yang baik untuk menarik lebih pedagang serta pengilang untuk memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara.

-BERNAMA


Pengarang :