AGENDANASIONAL

KPKT cadang kerjasama KBS, latih penduduk PPR sertai sukan

PETALING JAYA, 19 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk jalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melatih penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berminat untuk menjadi jurulatih sukan.

Ketua Setiausaha KPKT, Mohammad Mentek berkata, cadangan itu ekoran daripada kerja menaik taraf gelanggang sukan di tiga PPR membabitkan PPR Lembah Subang 1, Seri Cempaka dan Perumahan Awam Seri Kedah.

Katanya, beliau optimis apabila gelanggang sukan itu sudah berwajah baharu ia akan memberi semangat kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti sukan dengan lebih aktif.

“Melalui program itu kelak, penduduk PPR yang berminat akan dilatih oleh KBS untuk menjadi jurulatih sukan contohnya badminton dan futsal seterusnya akan melatih belia di PPR masing-masing.

“Menerusi usaha ini, secara tidak langsung kita dapat membudayakan ‘Gaya Hidup Sihat’ dan seterusnya kita juga boleh menganjurkan Karnival Sukan Antara PPR yang mampu mengintegrasikan hubungan komuniti melalui aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah sempena Program Sayangi Rumahku di PPR Lembah Subang di sini, hari ini.

Terdahulu, gelanggang sukan itu dinaik taraf menerusi inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku membabitkan kerjasama tiga sektor swasta antaranya EdgeProp Malaysia, Paramount Property Development Sdn Bhd dan Nippon Paint Malaysia.

Inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku ditubuhkan bagi menyokong Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Februari lalu.

Dasar ini diperkenalkan KPKT untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan khususnya di kawasan perumahan berstrata serta memberi manfaat buat golongan B40.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :