NASIONAL

KPKT lulus RM1 juta konsultasi bina pasar Pasir Pinji baharu

IPOH, 17 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM1 juta bagi tujuan konsultasi oleh pihak berkaitan untuk pembinaan pasar Pasir Pinji yang baharu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, melihat kepada keadaan pasar sedia ada yang uzur, kementeriannya akan berusaha menjayakan projek pembinaan semula pasar baharu untuk penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya boleh lihat keadaan pasar ini yang sangat lama jadi saya rasa ia patut dinaik taraf, jadi kita akan keluarkan segera RM1 juta ringgit dahulu untuk konsultasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar Pasir Pinji, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan kos RM11 juta bagi pembinaan pasar baharu itu akan diberikan secara berperingkat.

“Yang mereka anggarkan adalah RM11 juta tapi kita buat kerja awal untuk perundingan dahulu kemudian kita cuba mengurangkan kos mana yang boleh dan mungkin akan dilepaskan secara berperingkat.

“Saya juga meminta supaya pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dapat bekerjasama menyumbang bagi menjayakan pembiaan semula pasar ini,” katanya.

Mengikut cadangan, pasar baharu berkeluasan 3,000 meter persegi itu turut dilengkapi parkir bawah tanah serta gerai jualan yang lebih tersusun.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How menjalankan pengundian orang ramai untuk membina pasar baharu.

Hasilnya, 94 peratus daripada 1,715 penduduk di kawasan itu mengundi bersetuju untuk membina pasar baharu di kawasan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :