AGENDANASIONAL

KPM giat kumpul maklumat pelaksanaan semula PPSMI

JASIN, 19 JUL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat mengumpul maklumat dan pandangan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, langkah itu diambil bagi melakukan penambahbaikan terhadap dasar berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh.

Beliau berkata setakat ini, pihak sekolah boleh memilih sama ada untuk menyertai ataupun tidak ‘Dual Language Programme’ (DLP) yang diperkenalkan oleh KPM yang mana memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Beri kita sedikit masa untuk melakukan kajian dan mendapatkan maklum balas (secara komprehensif) berhubung isu PPSMI memandangkan KPM tidak mempunyai sebarang tempoh yang tertentu terhadap pelaksanaan semula dasar itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu bernilai RM600,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jasin Lalang, di sini hari ini.

Terdahulu, Teo turut melakukan lawatan kerja ke projek pembinaan makmal komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah di sini yang dijangka siap pada 11 November depan dengan kos RM676,000.

Turut serta dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Wong Fort Pin dan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan semula dasar itu sedang dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT) agar pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah sekali gus dapat dinikmati oleh semua murid dan pelajar.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010. – BERNAMA


Pengarang :