NASIONAL

KPN: Proses rundingan bawa Jho Low sedang berlangsung

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses rundingan dengan pihak berkuasa sebuah negara untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, usaha dan rundingan itu perlu dijalankan dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan usaha berkenaan tidak tersilap langkah.

Beliau berkata, PDRM tidak mahu pihak berkuasa di negara yang Jho Low sedang bersembunyi berasa seolah-olah PDRM sedang memberi tekanan kepada mereka.

“Bagaimanapun, proses rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkuasa di negara berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pulapol, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya berharap pihak berkuasa yang mana Jho Low tengah bersembunyi itu faham bahawa keperluan PDRM untuk membawa dia balik menghadapi proses pertuduhan dan undang-undang di negara ini.

“InsyaAllah, kami sedang menunggu kes ini (Jho Low) yang telah berlarutan selama empat tahun, kalau saya cakap sebulan atau dua bulan..mungkin pendek lagi pasal kes ini yang sudah lama berlaku,” katanya.

Pada Mei lepas, Abdul Hamid berkata, PDRM mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes membabitkan skandal 1MDB.

Selain itu, PDRM juga memberi jaminan keselamatan kepada Jho Low untuk pulang ke tanah air bagi melalui proses undang-undang. – BERNAMA


Pengarang :